Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 9166 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat. Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga hartanah, gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan fitrah serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat. Ini memandangkan dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding matawang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak matawang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.
Kesohoran dinar sebagai satu matawang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam. Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu matawang utama dalam kronologi ketamadunan Islam.
Sekiranya dinar emas mampu dinobatkan sebagai matawang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai matawang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan “Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years“ adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut. Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku…jawapannya ialah matawang konvensional yang tersedia ada tidak berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Apa yang berlaku pada hari ini ialah dunia menggunakan wang kertas yang rezabnya hanyalah dalam bentuk nisbah peratusan emas yang diperuntukkan dan bukannya instrumen itu sendiri yang memiliki nilai emas secara keseluruhannya. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.
Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal daripada negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai matawang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara. Penggunaan kedua-dua matawang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad S.A.W dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga. Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula menyusup dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18 H atau 20 H, Saidina Omar r.a telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra. Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6% atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.
Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan matawang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76 H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku di antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.
Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai matawang utama. Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” disamping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.
Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub. Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai matawang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan